Tawau: Seorang pemilik kedai dobi terpaksa menahan kesakitan hampir 15 minit apabila tangan kanannya tersepit mesin pengering pakaian sebelum berjaya diselamatkan sepasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian di premis perniagaan di Jalan Dominic, di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Lin Ah Chu, 65, dipercayai sedang membersihkan mesin berkenaan sebelum secara tiba-tiba tangannya gagal dikeluarkan dari mesin terbabit, kira-kira jam 10 pagi.
Menurut suami mangsa, Thimothy Chin, 72, yang berada di tempat kejadian, terkejut mendengar jeritan isterinya lalu bergegas untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya tergamam melihat tangan kanan isteri tersepit di mesin pengering dan meronta-ronta cuba melepaskan tangannya.
“Selepas usaha mengeluarkan tangan isteri gagal, saya menghubungi pasukan bomba dan penyelamat bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Rudy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.14 pagi dan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di premis terbabit, anggota bomba mendapati tangan kanan seorang wanita tersepit dan gagal dikeluarkan.
“Operasi dilakukan dengan membuka komponen mesin sebelum tangan mangsa dikeluarkan dalam tempoh empat minit,” katanya.
Menurut Rudy, mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut.
No comments: