Select Menu

Hiburan

Isu Semasa

Isu Panas

Hiburan

Sejarah

Pelancongan

Informasi

Pelbagai

Wanita warga emas cedera, rugi RM18,000 disamun


KUANTAN: Seorang wanita warga emas cedera di leher selepas disamun seorang lelaki bersenjata parang panjang di rumahnya di Kampung Baru Jara dekat sini, semalam. 


Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian 6.10 pagi itu, mangsa berusia 67 tahun itu baru hendak menunaikan solat subuh di ruang tamu rumahnya sebelum terdengar bunyi kuat dari arah dapur. 


"Selepas menendang pintu dapur rumah, suspek meluru masuk sambil mengacukan parang panjang ke leher mangsa serta mengugutnya dan pada masa yang sama suspek merampas rantai dan gelang emas dipakai mangsa. 

"Selain itu suspek turut melarikan sebuah beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 menjadikan jumlah kerugian yang dialami mangsa RM18,000," katanya ketika dihubungi hari ini. 


Katanya, suspek kemudian melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di dalam sebuah kereta di luar rumah. 

Katanya, suami mangsa, 60-an yang balik menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik sebelum membuat laporan di Balai Polis Maran. 

- BERNAMA

Lapan Remaja Lemas Di Lombong Sungai Buloh




SEGAMAT: Lapan remaja yang lemas di sebuah lombong di Sungai Buloh Kasap, dekat sini, dikatakan saling cuba menyelamatkan rakan mereka sehingga menyebabkan semua dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, 12 remaja berusia 13 tahun hingga 16 tahun termasuk seorang pelajar perempuan dikatakan beriadah di tepi sungai itu sebelum mereka bermain air di tepi sungai berkenaan. 


Seorang daripada mereka dikatakan lemas menyebabkan dua lagi cuba membantu tetapi turut hilang sehingga lima lagi rakan mereka turun terjun ke sungai sebelum semuanya hilang. 


Turut hilang ialah dua beradik berusia 14 dan 16 tahun.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 9.49 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 10 pagi.

Katanya, sehingga jam 2 petang ini semua mangsa masih belum ditemui dan lokasi kejadian di kawasan pasir jerlus dan menyelamat. Unit Scuba masih menjalankan operasi mencari.
"Mangsa dipercayai tertimbus pasir dan setakat ini semua mangsa belum ditemui," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra Mohd Aizat Mamat berkata remaja yang lemas itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 13 remaja yang berekreasi di sungai itu sempena cuti hujung minggu negeri itu.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila seorang daripada remaja terbabit menghadapi kesukaran ketika berada di dalam sungai menyebabkan tujuh rakannya cuba membantu. 

"Namun, rakan-rakan lain itu turut berhadapan dengan kesukaran ketika berenang di dalam sungai itu menyebabkan kesemua mereka dipercayai lemas," katanya.

Lima remaja lain selamat, katanya. 

Mereka semuanya dilaporkan berasal dari Taman Mewah, di sini

Sungai itu, yang terletak berhampiran sebuah kuari menyedut pasir, adalah kira-kira 10km dari bandar Segamat dan juga kawasan rekreasi popular bagi penduduk sekitarnya. 

Berikut senarai nama remaja yang dikhuatiri lemas:
1. MOHD ZATI ZAIDI, 16 
2. MOHD ZAKRI ZAIDI, 14
3. MOHD SYAFIQ MD SYUKUR,16
4. MOHD HAFIZUL DANIAL NOR HASYIM, 16 
5. NAZRUL AMIRUDDIN ZAMRI, 14
6. MOHD NAZRUL BIN ZAINAL, 15
7. MOHD IZUAN HAKIMI AMIR, 13
8. MOHD HAFIZUDIN KAMAL, 16

-BH-