Select Menu

Hiburan

Isu Semasa

Isu Panas

Hiburan

Sejarah

Pelancongan

Informasi

Pelbagai

Kusangkakan Orang Gila, Rupanya.....



Kisah benar ini telah beberapa tahun berlalu walaupun begitu kisah ini mempunya mesej yang baik untuk disampaikan kepada setiap pembaca. 
Kisahnya bermula…
Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terengganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang “lusuh ” karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.
Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah2 memanggilku. Aku pun balas tunggu skejap.
Pakcik tadi tenung aku sambil berkata “pakcik dah makan nak.. terima kasih nak..” Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.
Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. “Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?” Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalo pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik td tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.
Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. “Pakcik, saya sunyi makan sorang2, pakcik teman saya makan jom.” Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu.
Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan2. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik?
Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok2 mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah…

Pakcik tinggal di mana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh…. Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah2 melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.
Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing2 semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba2 pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara “amin…..” dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat2.
Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.
Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: “Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam..” Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan.
Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu.~~

Antara mesej atau nilai murni perlu difikirkan dan laksanakan adalah:
* Jangan sangka buruk pada orang , rupa fizikal tidak mencerminkan kemurnian hati seseorang.

* Bersedekahlah kepada sesiapa yang difikirkan layak untuk menerimanya.
* Bersedekahlah tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
* Bersedekahlah sekadar mampu kita.
* Jangan menghina, mencemuh, merasa kejengkilan dan lain-lain kerana kita tidak layak memandang seseorang manusia sedemikian.
* Cuba sebaik mungkin untuk menjaga perasaan seseorang.

Kisah Benar Diekori Mayat Selepas Pulang Dari Kubur



Proses pengebumian adalah proses akhir dalam menguruskan jenazah. Pada ketika inilah ramai orang akan berpusu-pusu menuju ke kawasan perkuburan untuk sama-sama membantu dan menyaksikan bagaimana jenazah itu dikebumikan dalam liang lahad. Terdapat pelbagai peristiwa pelik yang berlaku antaranya pengalaman seorang ustaz yang diganggu makhluk halus selepas pulang dari kubur. Namun mengapa ustaz itu diganggu?

Hati saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak tenteram. Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang kebawah saja yang saya dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an itu dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ. Baunya memang busuk.

Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut, namun ia tidak menyeramkan saya. Sudah bermacam-macam mayat yang pernah saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat yang ini lain macam sedikit.

Semasa memandikan jenazah itu bulu roma saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan pengalaman lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah.

Apabila sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan perkuburan. “Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga saya datang ke sini semula,” pesan saya kepada penggali kubur. Saya tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juru urus jenazah wanita yang dipanggil satu jenazah.

“Insya-Allah,” jawab penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak perlulah saya jelaskan kepadanya.

Selepas menghantar juru urus jenazah wanita, saya balik ke kawasan  perkuburan tersebut. Hajatnya untuk sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apabila tiba di kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan.

“Tak apalah ustaz. Saya dah kebumikan. Dah selesai,” kata penggali kubur tersebut.
“Alhamdulillah. Tak apalah, saya balik dulu.”

Namun apabila masuk sahaja ke dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori. Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikut saya pulang ke rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang saya tahu, saya cuba halau ‘benda’ itu. Namun saya tahu saya gagal dan ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang dengannya.

Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah seperti ada sesuatu yang mengganggu perasaan mereka. Perasaan seram kembali datang. Bulu roma saya meremang.

Satu demi satu ayat saya baca dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya. Biasanya saya gunakan surah al-Fatihah, tiga Qul, ayat Qursi, amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya berjaya, tapi tidak lama kemudian, gangguan itu datang kembali. Sekali lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk sementara waktu, ia lari meninggalkan saya.

Rupa-rupanya gangguan itu cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif. Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur. Saya lihat sekeliling, tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat tertentu dan gangguan itu berhenti seketika.

Memikirkan gangguan itu sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu, akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan lagi.Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada mayat berkenaan.

Telahan saya bahawa gangguan tersebut berpunca daripada mayat yang saya uruskan pada siang harinya memang berasas. Sebabnya ialah tidak berapa lama kemudian saya mendapat berita bahawa penggali kubur itu telah sakit selama sebulan. Sejak mengebumikan mayat tersebut, hidup penggali kubur itu mula tidak tenteram kerana diekori oleh ‘mayat’ berkenaan. Apabila dia masuk saja ke pejabat, dilihatnya mayat itu berada di dalam pejabatnya. Apabila dia masuk bilik mandi, di situ juga ada mayat.

Pendeknya ke mana sahaja dia pergi, di bilik tidur, di ruang tamu, di bawah pokok atau di mana sekalipun, pasti dia akan ternampak mayat itu. Akibatnya dia sakit selama sebulan dan meracau yang bukan-bukan. Selepas puas berubat, akhirnya dia sembuh seperti sedia kala.

Mungkin ada yang mengatakan cerita saya ini karut, atau sengaja direka, tapi percayalah, ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, alhamdulillah, kejadian itu memberi iktibar yang besar kepada saya.

Dari segi syarak, gangguan yang kami alami itu dilakukan oleh iblis menyerupai mayat untuk menakutkan kita supaya kita berhenti daripada menguruskan jenazah. Gangguan seperti ini jangan dilayan kerana menguruskan jenazah adalah ibadah.

Saya yakin gangguan yang kami lalui berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan oleh lelaki tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang, gangguan seperti itu berlaku kerana lelaki berkenaan membela jin dan syaitan untuk dijadikan khadam melindunginya.

Bagi yang menuntut ilmu kebal, salah satu cara untuk membunuhnya ialah dengan membuang separuh mayatnya ke dalam sungai atau laut dan separuh lagi dibuang di darat. Itulah syaratnya kerana kalau kedua-dua bahagian tubuh itu dibuang di darat, atau kedua-duanya dibuang ke dalam air, ia akan bercantum dan mayat tersebut akan hidup semula. Itulah cerita yang saya dengar, betul atau tidak wallahuaklam.

Nasihat saya, janganlah dituntut ilmu yang bukan-bukan, yang bersahabat dengan syaitan. Dalam syarak, apa ilmu kita tuntut pun kita tak boleh kebal. Malah nabi yang hafaz al-Quran, rasul, tapi dia juga cedera semasa perang. Sebenarnya kita bukannya kebal, tapi dilindungi oleh jin.Ingatlah, jika kita berkehendakkan sesuatu, bermohonlah kepada Allah. Janganlah salah guna ayat al-Quran.