Select Menu

Hiburan

Isu Semasa

Isu Panas

Hiburan

Sejarah

Pelancongan

Informasi

Pelbagai

» » Que Haidar Botakkan Kepala Kerana 'Penyakit Kanser'

JIKA diberi peluang meneliti satu persatu naskhah yang pernah dijayakan oleh pelakon ini, mungkin setiap satunya tidak pernah gagal memberikan kesan yang berbeza pada jiwa para penonton. Utuh membalut nama dengan beberapa pengiktirafan, karya-karya lakonannya jarang sekali mendapat respons negatif.



Siapa boleh lupa, gelodak emosi yang ditampilkan oleh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau lebih mesra disapa Que Haidar menerusi beberapa buah filem dan telemovie lakonannya, sering menarik perhatian ramai.
Pernah meneraju beberapa filem melodrama seperti KL Menjerit 1, Bilut, Syaitan dan Cinta, aktor berusia 35 tahun ini cukup terkenal dengan sikap 'memilih' apabila menyentuh tentang karakter serta ciri-ciri filem yang bakal dibintanginya.
Ketika berpeluang bertemu dengannya sewaktu sesi penggambaran telemovie Malaikat Di Pintu Babusalam di Kampung Rantau Panjang, Batu 14, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, ujar Que, sifat selektif perlu ada bagi menonjolkan kebolehan yang dimiliki menerusi setiap naskhah yang dilakonkannya.

Botakkan kepala
"Saya begitu cerewet dalam memilih naskhah yang diberikan kepada saya. Setiap kali menerima tawaran berlakon daripada mana-mana syarikat produksi, saya pastikan bahawa saya tahu tentang kekuatan jalan ceritanya, skrip, watak, pengarah serta para pelakon yang akan bekerja dengan saya.
"Saya berbuat demikian bukan semata-mata kerana mahu dikenali menerusi filem atau drama yang hebat tetapi proses memilih itu mampu membuatkan para penonton mengingati karakter lakonan saya sampai bila-bila. Impak tersebut yang saya mahukan dalam karier saya," ujarnya.
Justeru, tidak hairanlah jika Que mengambil keputusan drastik dengan membotakkan kepalanya semata-mata ingin memenuhi tuntutan watak pesakit kanser yang dimainkannya menerusi telemovie arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu.
"Apabila sudah bergelar sebagai pelakon, kita tidak seharusnya meletakkan status itu sebagai penghalang untuk terus merealisasikan watak yang telah diberikan.
"Watak itu menuntut saya untuk membotakkan kepala, mengapa saya perlu menidakkan permintaan itu? Jika saya telah bersetuju untuk berlakon dalam sesebuah telemovie atau filem, maka saya juga telah bersetuju untuk mengikut jalan cerita serta watak yang telah tertulis dalam perjalanan cerita tersebut," ujar Que lagi.
Penyakit kanser
Memegang watak sebagai penulis bernama Ezra, pelakon yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini berkata, elemen penyakit kanser yang ditampilkan di dalam telemovie Malaikat Di Pintu Babusalam merupakan idea asal miliknya.
"Sebelum menerima tawaran untuk menjayakan telemovie ini, pihak produksi yang sama iaitu Enuja Production ada menghubungi saya mengajak berlakon dalam sebuah telemovie lain. Ketika itu saya terpaksa menolak kerana jalan cerita yang ditampilkan tidak begitu kuat.
"Kemudian, mereka bercadang untuk menghasilkan sebuah skrip yang kena dengan jiwa saya. Setelah beberapa kali mengadakan sesi perbincangan dengan Raja Mukhriz dan produser, Zainuddin Mohd. Ismail, mereka bersetuju untuk memasukkan kisah penderitaan seorang pesakit kanser sebagai salah satu konflik yang ditampilkan dalam telemovie ini," ujarnya.
Sengaja memilih elemen kanser sebagai salah satu konflik yang ingin ditonjolkan di dalam telemovie ini, Que berkata, nekadnya itu timbul kerana kaum keluarga serta sahabatnya sendiri ramai yang menderita akibat penyakit tersebut.
"Ramai antara ahli keluarga saya yang menghidap penyakit ini. Ia merupakan penyakit keturunan yang menyerang hampir kebanyakan kaum keluarga saya.
"Selain darah daging sendiri, kanser juga telah menyebabkan saya kehilangan seorang rakan yang pernah giat berlakon teater bersama saya suatu ketika dahulu.
"Jadi, sebagai seorang pelakon, saya mahu memberikan kesedaran kepada rakyat di negara kita tentang bahayanya penyakit ini jika tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal," katanya.
Cabaran
Selain bertindak membotakkan kepalanya, Que juga turut berhadapan dengan beberapa cabaran sepanjang menjalankan penggambaran telemovie ini.
"Sejujurnya, cabaran yang saya hadapi sepanjang menjayakan telemovie ini sama sahaja dengan drama atau filem yang pernah saya lakonkan.
"Cuma, perkara yang paling memenatkan ialah babak yang dirakamkan tidak berjalan mengikut apa yang terkandung di dalam skrip. Justeru, saya perlu tahu emosi saya ketika masih sihat sehinggalah sedang sakit tenat," ulas Que yang begitu teliti dalam menjaga kesinambungan emosinya dalam telemovie ini.
Menurut Que, walaupun emosi merupakan perkara yang paling penting dalam sesi penggambaran, namun, hubungannya dengan para pelakon lain turut diambil kira agar perjalanan wataknya dapat digambarkan secara jelas tanpa sebarang masalah.
"Selain bermain dengan emosi, saya perlu menjaga babak-babak yang ada kaitan dengan pelakon-pelakon lain. Ini kerana, karakter saya antara anak dan isteri berubah-ubah mengikut tahap penyakit kanser yang saya deritai," katanya lagi.
Kerja sampingan
Walaupun Que tidak kerap muncul sebagai seorang pelakon, namun kehadirannya sebagai tenaga pengajar cukup diterima ramai, terutamanya anak-anak muda yang teringin untuk mendalami dunia lakonan.
Selain mengajar, dia juga sedang menjinak-jinakkan diri dengan bisnes pengurusan majlis dan reka bentuk hiasan dalaman bersama isterinya, Linda Jasmine.
"Jika tidak berlakon, saya sibuk menjelajah beberapa buah negeri dan mengadakan bengkel-bengkel lakonan di beberapa buah pusat belia yang terpilih.
"Selain itu, saya juga turut aktif menguruskan bisnes pengurusan acara yang banyak melibatkan sambutan hari jadi serta majlis perkahwinan. Linda pula sedang giat memulakan perniagaan mereka bentuk hiasan dalaman yang telah dimulakan pada akhir tahun lalu," ujar Que yang menyifatkan kerja-kerja sampingan ini mampu memberikannya peluang untuk memilih haluan kariernya selain daripada berlakon.
Sebelum mengakhiri temu bual, Que mengakui bahawa dia tidak akan bersara daripada dunia lakonan walaupun kurang muncul di kaca TV dan giat melakukan pelbagai pekerjaan sampingan bersama isterinya.
"Dunia lakonan telah menjadi darah daging saya. Mustahil untuk saya tinggalkan perkara yang saya suka," tutur Que.


KOSMO

About Unknown

PERINGATAN: Ohbah tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply