PETALING JAYA: Kesengsaraan hidup juara Pilih Kasih musim pertama iaitu Iqbal Mazlan datang bertimpa-tipa apabila dia putus tunang dan menjadi penjual botol kerana kesempitan hidup.
Iqbal, 26, memberitahu nasibnya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila dia juga tidak menerima sebarang tawaran berlakon sudah hampir setahun lalu manakala hasratnya untuk berkahwin tidak menjadi selepas pihak wanita meminta pertunangan mereka diputuskan.
"Saya tidak mahu fikir negatif kenapa dia tinggalkan saya, mungkin kami memang tiada jodoh lagi dan hubungan juga sudah tiada lagi persefahaman.
"Dua bulan pertama kami putus, memang saya sangat kecewa kerana kami sudah berkawan hampir tiga tahun dan ketika saya berada dalam keadaan begini dan tiada tawaran berlakon, dia pula tinggalkan saya.
"Ibu juga ada berseloroh menyuruh supaya saya mandi bunga kerana malang yang bertimpa-timpa, tapi saya tidak percaya," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Khamis.
Sementara itu, katanya, dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara perbelanjaan seharian keluarga termasuk menjual nasi lemak dan mengutip botol di sekitar Klang dekat sini.
Tambah Iqbal, dia reda dan menganggap musibah yang datang sebagai satu ujian daripada Allah.
"Ibu-bapa saya tidak bekerja jadi saya perlu mencari duit perbelanjaan lebih-lebih lagi anak angkat saya iaitu Adam yang sedang membesar. Dia pun dah berusia tiga tahun.
"Oleh itu saya terpaksa buat apa juga kerja yang halal termasuk jual nasi lemak, kutip botol dan tin kosong di tepi jalan untuk di jual.
"Saya ada juga hubungi pihak-pihak produksi yang pada mulanya ingin menawarkan saya berlakon tetapi bila tiba masanya saya cuba hubungi tidak pula dijawab," katanya.
Tambah Iqbal, dia juga kini baru sahaja bekerja di sebuah gimnasium di Ukay Perdana, Ampang dan melatih pelajar-pelajar sekolah dalam seni mempertahankan diri pada setiap hujung minggu.
Lebih teruk lagi, ibunya kini sedang menghidap penyakit kanser payudara, manakala dia sendiri mengalami kecederaan pada pinggang kesan akibat terjatuh ketika melakonkan aksi lagak ngeri untuk sebuah filem beberapa tahun lalu.
"Ibu saya masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Klang, dan saya juga tidak boleh terlalu aktif kerana cedera di pinggang kesan daripada jatuh ketika penggambaran filemAbuya beberapa tahun lalu," katanya.
No comments: