JIKA hendak dibandingkan hayatnya dalam bidang lakonan dengan pencapaian yang digenggam setakat ini, pelakon genit, Zara Zya, 29, bukanlah seorang selebriti yang berpeluang mengecap nikmat populariti secara mendadak. Segala pengiktirafan yang diterima setakat ini membuktikan bahawa kehadirannya dalam industri adalah serius dan bukan bersifat sementara.
Namun, perjalanan tuan empunya nama, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin dalam dunia lakonan bukanlah semudah yang dijangka. Sepanjang tempoh sepuluh tahun bergelumang dalam bidang itu, aktres yang berasal dari Lenggong, Perak ini pernah melalui bibit-bibit hitam apabila ada sebilangan manusia yang bersifat keji cuba untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya.
“Saya masih ingat dengan jelas. Sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya pernah diajak beberapa kali ke pusat hiburan karaoke untuk tujuan berhibur oleh orang-orang penting dalam industri. Sebagai balasan, mereka akan menawarkan saya peluang untuk berlakon.
“Ketika itu, saya berasa sungguh terkejut. Tindakan seperti itu sedikit sebanyak membuatkan saya mempunyai tanggapan yang negatif terhadap orang-orang dalam industri hiburan.
“Alhamdulillah, saya tidak terjerumus ke kancah tidak bermoral itu. Sejak peristiwa itu, saya nekad untuk terus positif dan terus mencuba untuk memperbaiki diri sebagai seorang pelakon,” ujar Zara ketika ditemui pada majlis ramah mesra Rawk & Bowl bersama kelab peminatnya, LoveZaraZyaFC di Ampang Superbowl, Ampang Point, Ampang, Selangor, semalam.
Dunia lakonan filem
Bercakap mengenai mutu lakonannya setelah namanya mula meniti di bibir peminat, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri I Love You Mr. Arrogant untuk watak Zaraa Amirah ini berkata, dia lebih gemar melakonkan watak yang bertentangan dengan personalitinya yang normal.
“Menerusi watak Zaraa Amirah, karakter yang saya mainkan merupakan seorang wanita yang lemah lembut. Itu mungkin mencerminkan diri saya yang sebenar. Tetapi dalam drama Puteri Malam, watak Puteri pula digambarkan sebagai seorang wanita yang hilang pedoman hidup. Watak seperti itu lebih menampakkan sisi berbeza saya.-KOSMO
No comments: